fbpx

RM1.217 juta dibelanja banteras penerokaan tanah secara haram – Wan Rosdy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY ketika ucapan penggulungan dalam sidang DUN penggal kedua kali ke-15 di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Kerajaan negeri melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang telah melaksanakan sebanyak 107 operasi yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.217 juta bagi membanteras penerokaan tanah secara haram negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan pada tahun lalu itu diberikan untuk tujuan pemusnahan, penyitaan dan lain-lain usaha pemantauan yang digerakkan secara bersepadu.

Katanya, kerajaan negeri begitu serius terhadap usaha-usaha penguatkuasaan bagi memberi tumpuan berterusan terhadap kes-kes yang menyebabkan kehilangan hasil kerajaan negeri.

“Menerusi penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang yang ditubuhkan pada 15 Oktober 2019 itu, kerajaan negeri telah berjaya membanteras penerokaan tanah secara haram terutamanya dalam Ops Lestari di Cameron Highlands.

“Malah, dengan penubuhan Skuad Elit juga, usaha-usaha membanteras penerokaan haram ini juga dipergiatkan secara berterusan. Skuad Elit ini berperanan melakukan risikan awal serta serbuan ke kawasan yang didapati telah melakukan penerokaan haram,” katanya dalam ucapan pergulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, penggal kedua kali ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memperhebatkan lagi aktiviti penguatkuasaan agar kelestarian alam sekitar negeri ini terus terpelihara.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga akan terus komited dalam usaha pemuliharaan harimau Malaya dengan mewartakan Rizab Harimau DiRaja Al-Sultan Abdullah seluas 134,183 hektar.

“Sebagai permulaan, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah melaksanakan pewartaan fasa pertama ke atas kawasan Hutan Tadahan Air dan Hutan Perlindungan Tanah di keseluruhan Hutan Simpan Gunung Aais dan Hutan Simpan Gunung Aais Tambahan seluas 92,649.33 hektar sebagai Hutan Perlindungan Hidupan Liar melalui Siar Warta bertarikh 4 Mei 2023, manakala selebihnya pula, kita akan laksanakan menerusi fasa kedua.

“Kita seharusnya berbangga kerana rizab ini merupakan yang pertama di Malaysia, kawasan rizab ini akan menjadi salah satu daripada projek karbon kredit di bawah skim ‘Malaysia Forest Fund’ ke arah meningkatkan usaha-usaha konservasi hutan kita secara kolektif,”katanya.

“Pusat konservasi yang dibina dengan kos RM42.25 juta ringgit ini adalah selaras dengan Kempen Selamatkan Harimau Malaya (SHM) yang sedang digiatkan oleh kerajaan dan telah mula beroperasi pada 1 Februari tahun lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI