fbpx

KTMB tawar 4.4 juta tiket balik raya Aidiladha, Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan 4.4 juta tiket bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity bagi perjalanan 1 Julai hingga 31 Disember ini.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, jualan berkenaan membolehkan orang ramai membuat perancangan awal khususnya untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, Deepavali, Hari Natal dan bagi mereka yang merancang pulang ke kampung semasa cuti sekolah atau bercuti dalam negara.

Katanya, sebanyak 1.8 juta tiket ditawarkan untuk perkhidmatan ETS manakala perkhidmatan KTMB Intercity pula sebanyak 2.6 juta tiket yang akan mula dibuka pada 15 Mei (Isnin) pada pukul 10 pagi.

“KTMB turut menawarkan dua perkhidmatan ETS tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya untuk perjalanan bermula 26 Mei hingga 5 Jun 2023 sempena cuti sekolah penggal pertama dan cuti umum,” jelasnya.

Sementara itu, KTMB memaklumkan sebanyak 6,930 tiket ditawarkan sepanjang tempoh berkenaan dan jualan tiket tren tambahan ini juga akan dibuka mulai 15 Mei ini.

“Tambang promosi maksimum RM10 bagi laluan antara stesen Sungai Petani ke stesen Padang Besar dengan menggunakan kod promosi ETSBERBALOI bagi tren ETS Platinum (KL Sentral-Padang Besar) iaitu EP9272, EP9274, EP9276 dan ETSBERBALOIGOLD untuk tren ETS Gold (Gemas-Padang Besar) iaitu EG9420.

“Bagi laluan Gemas-KL Sentral-Gemas pula sebanyak 50 peratus diskaun perjalanan ditawarkan dengan menggunakan kod promosi JIMATGEMAS yang membabitkan tren ETS EG9321, EG9322, EG9420 dan EG9425,” ujarnya.

Jelasnya lagi, tempoh promosi akan bermula 15 Mei hingga 31 Disember dan hanya boleh dibeli dalam masa 24 jam sebelum tren berlepas melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), kaunter tiket, kios atau melalui laman sesawang KTMB. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI