fbpx

Lokasi tumpuan pelancong di Melaka penuh barangan tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORENA menunjukkan kasut tiruan jenama Hermes yang disita dalam sidang akhbar di stor eksibit KPDN di Krubong, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Premis-premis perniagaan di kawasan tumpuan pelancong di negeri ini dikesan giat menjual pelbagai barang tiruan jenama mewah termasuk kasut dan tali pinggang Hermes.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, tindakan menyalahi Akta Cap Dagangan 2019 itu dikesan dalam serbuan yang dilakukan di premis-premis di sekitar Banda Hilir di sini, semalam.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita barangan tiruan bernilai RM3,224 dan menahan empat individu tempatan termasuk dua wanita berusia antara 30 sehingga 50 tahun.

“Dalam serbuan itu kita merampas 32 pasang kasut, 25 pasang selipar dan 13 utas tali pinggang jenama Hermes dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM3,224.

“Empat individu dipercayai pemilik premis turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 102(1) (c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam satu sidang akhbar di Stor KPDN Melaka, Krubong, di sini, hari ini.

Ujarnya, meskipun jumlah sitaan itu kecil, namun kesalahan dilakukan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 bagi setiap barang dijual.

“Kita mohon terutamanya peniaga di kawasan tumpuan pelancong tolong jangan jual barangan tiruan, KPDN menerima jumlah aduan yang sangat membimbangkan berhubung lambakan barangan tiruan ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut isu bekalan gula di negeri ini, Norena berkata, berlaku kekurangan di beberapa lokasi di sekitar Melaka, namun ia tidak memberi kesan kepada pengguna.

“Kekurangan itu berlaku kerana pengeluar dari Johor mengurangkan bekalan kepada pembekal, seterusnya mengakibatkan stok diperoleh peruncit sedikit berkurangan.

“Contohnya selalunya dapat 30 tan, mungkin pengeluar kurangkan bilangan kepada 22 tan atau 27 tan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI