PHNOM PENH – Harapan untuk menamatkan penantian 18 tahun untuk meraih pingat emas acara berpasukan lelaki tidak kesampaian selepas skuad badminton negara tewas 1-3 kepada seteru, Indonesia di pentas final sebentar tadi.
Pada saingan di Dewan Badminton, Morodok Techo itu, skuad negara bermula dengan baik apabila perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengejutkan taruhan terbaik lawan, Chico Aura Dwi Wardoyo dengan kemenangan 21-16, 21-13.
Bagaimanapun Indonesia kembali menyamakan kedudukan menjadi 1-1 beregu utama lawan, Shohibul Fikri dan Bagas Maulana menundukkan beregu lelaki negara, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe dengan keputusan 12-21, 20-22.
Harapan negara semakin tipis apabila Lee Shun Yang gagal beraksi di tahap sebenar mudah dijinakkan lawan, Christian Adinata dengan keputusan 17-21, 9-21.
Mata kemenangan Indonesia akhirnya dinoktahkan beregu lelaki mereka, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Rambitan yang diberikan tentangan sengit oleh Chia Weijie-Liew Xun dengan keputusan 21-13, 16-21, 16-21.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk meraih pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2005 di Filipina. – KOSMO! ONLINE