fbpx

LADA sasar kemasukan 300,000 pelancong sempena LIMA’23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Kamarul Faisal menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang menghadiri Majlis Aidilfitri Langkawi Best Wey! di Kompleks LADA, Langkawi, hari ini.

LANGKAWI – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menganggarkan kemasukan seramai 300,000 pelancong pada bulan Mei ini sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan dan Pembangunan) LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, bagi tujuan itu, pihaknya giat melakukan persiapan menjelang pameran tersebut.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang menjadi tempat pameran berlangsung telah siap sepenuhnya pada 13 April lalu.

“Projek naik taraf dewan itu telah siap sepenuhnya pada 13 April lalu dan menelan belanja sebanyak RM45 juta.

“Antara skop kerja naik taraf dewan tersebut melibatkan penukaran sistem penyaman udara, penukaran sistem elektrik, beberapa kerja infrastruktur seperti naik taraf kawasan parkir di sekeliling dewan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Langkawi Best Wey! Di Kompleks LADA, di sini, hari ini.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Infrastruktur dan Kebersihan LIMA’23 turut bekerjasama dengan agensi-agensi di Langkawi seperti Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Pejabat Daerah Langkawi, SW Corp, Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menjaga kebersihan di Langkawi.

“Antara usaha yang dilakukan adalah meningkatkan kadar kutipan sampah dan melantik petugas-petugas khas untuk membersihkan kawasan tumpuan di sekitar pulau ini.

“Walau bagaimanapun, kita masih mengharapkan masyarakat tempatan untuk menjaga kebersihan supaya nama baik Langkawi dan Malaysia dapat diterjemahkan kepada pelancong dan pempamer luar negara yang hadir sempena pameran tersebut,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI