PHNOM PENH – Skuad bawah 22 (B-22) negara mengotakan janji selepas menjadikan Singapura sebagai medan ‘lepas geram’ pada aksi terakhir Kumpulan B temasya Sukan SEA dengan kemenangan 7-0 di Stadium Prince sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad negara kendalian E. Elavarasan membuka jaringan menerusi ledakan cantik yang dilakukan T. Saravanan pada minit ke-14.
Penyerang muda Kuala Lumpur City (KL City), Haqimi Azmin menanduk gol kedua buat kem negara pada masa kecederaan babak pertama untuk meletakkan skuad muda Harimaua Malaya selesa 2-0 depan.
Bersambung pada separuh masa kedua, Saravanan sekali lagi mempamerkan belang selepas meledak dua gol pantas apda minit ke-48 dan ke-53 untuk melengkapkan hatrik peribadinya.
Saravanan yang berusia 22 tahun terus mengganas apabila berjaya menjaringkan gol keempat untuk meletakkan Malaysia mendahului 5-0 pada minit ke-62.
Ketika saingan seperti mahu berakhir dengan 5-0, kapten skuad muda negara, Mukhairi Ajmal mempunyai ‘idea’ lain apabila menjaringkan gol menerusi rembatan jarak jauh dua minit sebelum tamat masa sebenar.
Pemain gantian, Aiman Afif memastikan Malaysia dapat pulang ke tanah air dengan senyuman apabila merembat masuk gok ke-7 pada masa tambahan dengan keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia mengakhiri peringkat kumpulan dengan enam mata selepas mengharungi empat perlawanan dengan Vietnam dan Thailand beraksi di peringkat separuh akhir nanti. – KOSMO! ONLINE