fbpx

KPDNHEP terima aduan menu palsu dan mengelirukan pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan di premis kedai makan dan restoran.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan menerima aduan berhubung penyataan palsu pada menu dipaparkan peniaga restoran.

Antara kekeliruan itu termasuklah meletakkan paparan menu minuman jenama seperti ‘Milo’ atau ‘Nescafe’, tetapi menghidangkan jenama lain dengan kualiti berbeza.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan tersebut menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011.

“Sepanjang tempoh pemeriksaan sehingga 27 Oktober lalu, KPDNHEP sudah melakukan pemeriksaan terhadap 881 premis kedai makan dan restoran di seluruh negara, malah dua kes mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 direkodkan kerana menggunakan perihal dagangan palsu iaitu penggunaan jenama ‘Milo’.

“Pemeriksaan diteruskan bagi memastikan semua premis restoran atau kedai makan mematuhi arahan dan seterusnya melahirkan peniaga yang beretika,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, penyataan pada menu sama ada di meja atau dinding restoran adalah satu bentuk perihal dagangan yang dirujuk pengguna untuk mendapatkan maklumat sebelum memesan makanan dan minuman.

“Anggota penguat kuasa KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu, sejak 7 Oktober lalu.

“Premis restoran atau kedai makan perlu mematuhi peraturan tersebut dan jika didapati melakukan kesalahan mengikut seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011, pemilik tersebut boleh didenda tidak melebihi RM250,000,” ujarnya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI