KUALA TERENGGANU – Kewujudan syarikat konsesi tidak pernah ‘membunuh’ kontraktor kecil sebaliknya membantu kelangsungan golongan tersebut dalam memperolehi tender kerajaan.
Pengurus Besar (Operasi) Roadcare Sdn. Bhd., Nikifli Nurizan Nik Saad berkata, pihaknya sentiasa memainkan peranan membantu meningkatkan kualiti kontraktor kelas F yang dianugerahkan projek kerajaan.
“Kita seiring dengan kehendak kerajaan untuk mengawal selia kerja-kerja kontraktor selain membantu mereka dari segi modal dan latihan.
“70 peratus daripada kerja-kerja selenggara jalan persekutuan di empat negeri kendalian Roadcare di Pantai Timur dan Selangor diberikan kepada kontraktor kelas G1,” katanya ketika ditemui di Jambatan Angkat Kuala Terenggganu di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas menyaksikan penyerahan kontrak selenggara jalan persekutuan kepada 41 kontraktor kecil Terengganu oleh Ketua Pegawai Eksekutif (Penyelenggaraan) Roadcare, Datuk Wan Imran Wan Omar.
Kosmo! semalam melaporkan Presiden Persatuan Kontraktor Kelas F Malaysia, Tukiman Radion mendakwa tindakan konsesi mengawal projek kerajaan seperti pembinaan jalan, penyelenggaraan longkang dan memotong rumput punca kerja-kerja kontraktor semakin menguncup.
Nikifli Nurizan berkata, Roadcare yang berpengalaman selama 20 tahun tidak pernah mengamalkan pilih kasih dengan menjemput semua kontraktor berkelayakan termasuk ahli Persatuan Kontraktor Kelas F Malaysia membida projek.
Tambah beliau, projek kerja selenggara jalan persekutuan dikendali Roadcare dilaksanakan secara tender terbuka.
“Nilai projek ditawarkan juga sesuai dan berpatutan dengan kadar semasa dan bayaran kepada kontraktor terpilih juga tidak pernah lewat,” katanya. – KOSMO! ONLINE