ROM – Jaguh tenis Sepanyol, Paula Badosa terpaksa bermandi peluh untuk menewaskan pemain kelayakan dari Jerman, Anna-Lena Friedsam pada aksi pembukaan Terbuka Itali semalam.
Pada pertemuan pertama tersebut, Badosa memerlukan dua jam 37 minit dan berlarutan sehingga waktu tengah malam untuk menyingkirkan pemain No. 88 dunia itu dengan keputusan 4-6, 6-2, 7-6 .
“Sungguh gembira dengan kemenangan ini meskipun saya bergelut pada awal permainan. Saya fikir Friedsam bermain pada tahap yang menakjubkan hari ini.
“Apapun saya sangat gembira kerana saya terus berjuang sehingga mata terakhir,” kata Badosa.
Bagaimanapun, perjalanan Badosa pada Terbuka Itali agar sukar selepas dia akan berdepan pemain ranking No. 7 dunia dari Tunisia, Ons Jabeur pada pusingan kedua lewat petang hari ini.
“Jabeur seorang pemain yang hebat dan saya menganggap ia akan menjadi pertempuran seperti biasa.
“Saya sangat menantikan perlawanan ini dan saya juga sangat menghormatinya. Saya harap ia akan menjadi perlawanan yang baik dan orang ramai mampu menikmati perlawanan ini esok (hari ini),” tambahnya.
Sebagai rekod, Badosa sebelum ini berada di kedudukan No. 11 dunia pada 9 Januari lalu, tetapi bekas pemain No. 2 Dunia itu tidak berupaya mempamerkan perlawanan yang konsisten hingga menyaksikan rankingnya merosot ke No. 35 ketika ini. – AGENSI