PARIS, Perancis – Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dilihat tidak sabar untuk kembali beraksi semula bersama pasukannya selepas terpaksa disisihkan pada tiga pusingan perlumbaan sebelum ini akibat kecederaan.
Juara MotoGP enam kali itu mengalami kecederaan patah tulang tangan kanannya selepas terlibat dalam kemalangan sewaktu bersaing pada perlumbaan pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Portimao, Portugal 26 Mac lalu.
Selepas mendapat nasihat pakar perubatan, Marquez membuat keputusan untuk menjalani proses pemulihan sempurna dan terlepas bersaing pada GP Sepanyol, Argentina dan di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Marquez kini pulih sepenuhnya serta mendapat lampu hijau daripada pasukannya untuk bersaing pada perlumbaan GP Perancis hujung minggu ini nanti.
“Saya sangat gembira dapat kembali bersama Repsol Honda dan menunggang jentera saya semula. Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan saya atas kerja profesional serta nasihat mereka sejak beberapa minggu lalu.
“Sudah tentu sebagai seorang pelumba, anda sentiasa mahu kembali secepat mungkin, tetapi dengan kecederaan seperti ini adalah sangat penting untuk pastikan kecederaan benar-benar pulih.
“Sekarang saya berada di sini dan fokus sepenuhnya untuk menunggang. Saya tidak lagi bimbang tentang kecederaan itu kerana ia telah pulih sepenuhnya.
“Mari kita lihat apa yang boleh kita lakukan di GP Perancis dan yang paling penting, kami akan bekerja secara maksimum,” kata Marquez. – AGENSI