MANCHESTER – Penjaga gol Manchester United, David De Gea dilaporkan bakal menandatangani kontrak baharu untuk kekal di Old Trafford.
Kontraknya akan tamat pada musim panas ini, namun United masih mempunyai pilihan untuk menyambung khidmatnya setahun lagi.
Ketika ini, United memiliki beberapa penjaga gol lain seperti Jack Butland, Tom Heaton dan bakal menerima kepulangan Dean Henderson dari tempoh pinjaman dari Nottingham Forest, namun pengendali pasukan, Erik Ten Hag seakan masih berminat untuk mengekalkan De Gea.
De Gea dilaporkan sudah bersetuju dengan terma baharu termasuk terpaksa berdepan pemotongan gaji.
Walaupun merekodkan bolos yang kurang berbanding penjaga gol lain musim ini, beberapa kesilapan De Gea jelas beri kesan besar kepada The Red Devils termasuk ketika tewas di tangan Sevilla pada suku akhir Liga Europa serta kalah 0-1 kepada West Ham United.
Dalam masa sama, United juga dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat penjaga gol Brentford, David Raya. – AGENSI