fbpx

Bot pukat tunda tak diusahakan sendiri, guna nelayan warga asing ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nelayan warga Thailand yang ditahan APMM di perairan Kerian Dan Larut Matang, dekat Parit Buntar semalam.

PARIT BUNTAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot pukat tunda bersama dua nelayan warga Thailand di kedudukan 11.5 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang Kuala Kurau di sini kira-kira pukul 1.20 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan perondanya mengesan bot itu sebelum ia dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemui seramai dua nelayan warga Thailand termasuk tekong berumur 26 dan 51 tahun, tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di bot itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu memiliki lesen yang sah, namun tidak diusahakan sendiri oleh pemilik dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 38 kilogram ikan baja turut ditemui semasa pemeriksaan dilakukan.

“Kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya,” katanya.

Katanya, APMM mengingatkan kepada semua komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi menjaga kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan orang ramai kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI