fbpx

Peranan Amanita diperkasa dalam mencegah peningkatan kes jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adli (tengah) bersama anggota Amanita IPD Pasir Puteh pada Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita Kontinjen Kelantan di pekarangan PPD Pasir Puteh.-Foto TOREK SULONG/KOSMO!

PASIR PUTEH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkasakan peranan Skuad Aman Wanita (Amanita) dalam menjalankan aktiviti bersama komuniti agar dapat memberi impak positif dalam konteks pencegahan jenayah.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Adli Ismail berkata, sehubungan itu, langkah mewujudkan Taman Angkat Amanita di seluruh negara sejak lapan tahun lalu dilihat dapat menambah keakraban penduduk khususnya suri rumah dan polis untuk menyalurkan maklumat yang diperlukan.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 113 Taman Angkat Amanita berjaya diwujudkan membabitkan kreativiti, strategi dan perancangan semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di seluruh negara.

“Pihak pengurusan akan memastikan sebanyak 14 Taman Angkat Amanita diwujudkan setiap tahun menerusi sumbangan satu lokaliti yang dipilih setiap tahun.

“Pegawai dan anggota polis wanita akan merancang perjalanan tugasan dalam komuniti tanpa uniform polis sekali gus menampilkan suasana lebih mesra masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Amanita Kontinjen Kelantan (Taman Perumahan Seri Aman) di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Adli memberitahu, Amanita merupakan sebahagian pengorbanan anggota polis wanita yang bertugas sepenuh masa di balai polis.

Menurutnya, setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Amanita dianggota lebih 30 orang polis wanita, namun bilangannya tertakluk kepada keperluan tugasan di balai polis terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI