PETALING JAYA – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas disambung pelantikannya sebagai Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bagi tempoh tiga tahun lagi berkuat kuasa 1 Januari depan hingga 1 Disember 2023.
Naib Canselor Uniten, Prof. Datuk Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, selain penyambungan pelantikan Canselor tersebut, pihak pengurusan tertinggi universiti juga telah menyambung pelantikan Pro Canselor Uniten iaitu Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali bagi tempoh sama.
“Uniten juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan dua Pro Canselor Uniten
yang baharu iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 22 Oktober lalu hingga 21 Oktober 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kamal Nasharuddin berkata, seluruh warga Uniten mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan itu untuk bersama-sama mencapai kecemerlangan misi dan visi universiti.
“Semoga dengan pengalaman dan kepimpinan mereka semua akan terus memacu Uniten ke mercu kecemerlangan, kejayaan dan kegemilangan sekali gus menaikkan imej universiti,” ujarnya. -K! ONLINE