PHNOM PENH – Kuartet pecut wanita negara mempamerkan prestasi menakjubkan selepas berjaya pecahkan rekod kebangsaan sekali gus meraih pingat gangsa acara 4×100 meter (m) wanita temasya Sukan SEA Kemboja 2023 sebentar tadi.
Pada saingan di Stadium Nasional, Morodok Techo itu, kuartet wanita yang terdiri daripada Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling merekodkan catatan masa 44.58 saat(s).
Masa tersebut sekali gus memadam rekod lama iaitu 45.18s yang dicipta Nurul Faizah Asma Mazlan, Siti Fatimah Mohamad, S Komalam Shally dan Zaidatul Husniah di Kejohanan Olahraga Asia ke-22 di Kalinga Stadium, Odisha, India pada 2017.
Pingat emas dimenangi kuartet Thailand dengan catatan masa 44.24s manakala Vietnam membawa pulang pingat perak (44.51s).
Sementara itu, Zaidatul Husniah mengakui sasaran utama rakan-rakan sepasukan adalah untuk memperbaharui rekod kebangsaan pada temasya dwitahunan kali ini.
“Kami memang meletakkan sasaran untuk perbaharui rekod kebangsaan dan jika mendapat pingat adalah bonus.. Sudah pastinya kami gembira walaupun mengakhiri perlumbaan dengan pingat gangsa.
“Perkara penting adalah kehadiran saya dalam kuartet 4×100 wanita dapat membantu pelari baharu seperti Afrina dan Aishah yang kali pertama beraksi di pentas Sukan SEA,” katanya sebentar tadi.
Sementara itu, kuartet 4x100m lelaki tidak kurang hebatnya apabila turut meraih pingat gangsa dibelakang Indonesia selaku juara manakala Thailand meraih pingat perak.
Kuartet negara terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail melakukan catatan masa 39.36s. – KOSMO! ONLINE