PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan penubuhan Dana Monetari Asia menerusi ucapannya ketika menghadiri pembukaan dan sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 2023, hari ini.
Anwar menerusi satu hantaran di Facebooknya berkata, ia sejajar dengan inisiatif ASEAN untuk mengukuhkan kebergantungan ekonomi dan jaringan keselamatan di rantau ini.
“Saya juga menyambut baik deklarasi para pemimpin untuk menggerakkan kesalinghubungan pembayaran serantau dan menggalakkan urus niaga mata wang tempatan.
“Mengenai Visi Pasca Komuniti ASEAN 2025, saya percaya, ASEAN perlu dapat mempamerkan keyakinan dan kesediaan yang lebih tinggi untuk merebut peluang bagi membawa perubahan positif kepada rakyat dan rantau ini,” katanya.
Dalam masa sama katanya, beliau turut menyentuh keperluan mengukuhkan geopolitik dan geoekonomi ASEAN dan membentuk ketertiban antarabangsa yang adil dan beretika.
“Ia selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Putrajaya.
“Pastinya keazaman dan kebersamaan anggota ASEAN perlu dituntut untuk mencari penyelesaian secara baik kepada isu Myanmar khususnya apabila Malaysia terpaksa bergelut dengan lebih 200,000 ribu pelarian Burma.
“Rantau ASEAN pasti boleh membangun bersama-sama!,” tambah beliau.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 11 Mei ini di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia. – KOSMO! ONLINE