PELUMBA berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah terpaksa pulang ke Malaysia bagi menjalani sesi pemulihan selepas terlibat dalam kemalangan ngeri sewaktu Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol.
Hafizh yang beraksi bersama Petronas MIE Racing Honda gagal menamatkan saingan Ahad lalu selepas terlibat kemalangan dengan pelumba Kawasaki Puccetti Racing, Tom Sykes di selekoh empat.
Hafizh mengakui dia terpelanting akibat rempuhan keras tersebut dari arah belakang selepas Sykes mendakwa dia tidak dapat memberhentikan jenteranya.
“Pada perlumbaan itu, berlaku perlanggaran pada belakang badan saya sebab Skyes gagal hentikan jenteranya. Disebabkan itu, saya terpelanting di selekoh 4 dan jentera juga hempap saya.
“Saya terbaring lama di situ dan apa pun dia (Sykes) telah datang memohon maaf kepada saya dan juga pasukan di atas apa yang berlaku di Catalunya.
“Saya akan kembali ke Malaysia untuk menjalani proses pemulihan kecederaan dan alhamdulillah tiada kecederaan serius selepas imbasan CT scan,” kata Hafizh.
Hafizh turut mengakui dia akan terlepas ujian di Misano bersama jenteranya pada 11 dan 12 Mei nanti bagi menjalani sesi pemulihan di Malaysia.
“Jadi, saya tidak akan berangkat ke Misano minggu ini dan aktif macam biasa untuk jalani latihan seperti biasa. Apa pun, terima kasih kepada semua yang sentiasa beri sokongan kepada saya,” ujarnya.