SEVILLE – Pengarah Sukan Sevilla, Monchi percaya sejarah dan pengalaman pasukan itu di pentas Liga Europa akan membantu mereka untuk meraih satu lagi kejayaan menjelang aksi separuh akhir pertama menentang Juventus awal pagi esok.
Sevilla yang dianggap memiliki keistimewaan pada saingan Liga Europa menerusi kejayaan yang diraih sebelum ini telah mengejutkan Manchester United 5-2 pada aksi suku akhir dan bersedia untuk mengulangi kejayaan itu sekali lagi.
“Ini adalah peluang untuk Sevilla mengubah nasib musim ini selepas aksi kurang memberangsangkan pada saingan La Liga. Kami memiliki keinginan untuk menukar mimpi ngeri ini menjadi sesuatu yang lebih indah.
“Saya mengharapkan pasukan yang sama dapat beraksi ketika menentang United. Kami adalah pasukan yang sering berdepan kegagalan, namun anda juga sering melihat kami meraih kejayaan di pentas Liga Europa.
“Saya fikir Juventus adalah pasukan pilihan, tetapi kami sudah melakukan perkara yang istimewa dalam kejohanan ini sebanyak enam kali. Kami menewaskan pasukan yang lebih baik, United, Inter Milan, Benfica dan Liverpool.
“Ini adalah sejarah kami dan kami tidak segan untuk mengulanginya lagi. Saya sedar bahawa ia tidak mudah kerana Juventus juga berdepan musim sukar seperti juga kami dan mengharapkan trofi ini mampu mengubati kekecewaan,” katanya.
Dalam pada itu, Monchi menamakan penyerang muda Juventus, Federico Chiesa sebagai pemain yang perlu diberikan perhatian oleh benteng pertahanan Sevilla kerana kemampuannya mencipta gerakan dan menghasilkan jaringan. – AGENSI