ROM – Pemain tenis No. 2 dunia, Aryna Sabalenka mengambil pendekatan merendah diri apabila enggan melabelkan dirinya sebagai pilihan menjelang kejohanan Terbuka Perancis yang akan bermula 22 Mei hingga 11 Jun depan.
Pemain Belarus itu baru sahaja merangkul gelaran ketiganya musim ini apabila muncul juara pada Terbuka Madrid selepas menewaskan pemain No. 1 dunia dari Poland, Iga Swiatek di perlawanan akhir Ahad lalu.
Justeru, dia kini dalam persiapan bagi menghadapi kejohanan Terbuka Itali yang boleh dianggap sebagai aksi pemanas badan sebelum menggalas cabaran pada saingan di Roland Garros nanti.
“Saya tidak rasa seperti itu (pemain pilihan), tetapi saya benar-benar mahukan status tersebut. Saya akan terus bekerja keras bagi menampilkan aksi terbaik pada kejohanan di Rom dan Roland Garros nanti.
“Selepas aksi Jelajah berakhir, kita tunggu dan lihat bagaimana aksi saya di atas gelanggang tanah liat nanti. Ketika itu barulah kita tahu sama ada saya benar-benar bagus atau bernasib baik,” katanya.
Pemain berusia 25 tahun itu juga mengakui gembira dengan prestasi dipamerkan setakat ini selepas dia mengharungi aksi mengecewakan musim lalu apabila gagal memenangi sebarang kejohanan.
“Saya tidak fikir mengenai potensi untuk menjadi juara Grand Slam atau berada di ranking No. 2 dunia kerana tidak pasti saya boleh lakukannya ataupun tidak. Apa yang saya tahu adalah untuk sentiasa bekerja keras memperbaiki permainan,” ujar Sabalenka.
– AGENSI