fbpx

Penduduk Jepun upah pakar ajar cara senyum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai berjalan melepasi laluan kereta api di Togoshi Ginza, di sepanjang salah satu lokasi beli-belah terpanjang di ibu kota Tokyo pada 8 Mei lalu. - AFP

TOKYO – Sebilangan penduduk Jepun dilaporkan sanggup mengupah pakar untuk mengajar mereka cara mengukir senyuman di khalayak ramai selepas menyembunyikan wajah di sebalik pelitup muka selama tiga tahun ketika pandemik Covid-19, lapor portal berita MailOnline semalam.

Jepun baru sahaja mengisytiharkan penamatan sekatan Covid-19 dengan menghapuskan baki kawalan sempadan minggu lalu dan menamatkan peraturan pelitup muka pada Mac.

Orang ramai masih memilih untuk memakai pelitup muka ketika berada di luar, namun segelintir daripada mereka bimbang sekiranya terlupa cara untuk senyum kerana telah menutup wajah dengan terlalu lama.

Mereka bimbang sekiranya senyuman yang ditampilkan tidak asli dan ada yang khuatir untuk menunjukkan semula bahagian bawah wajah kepada orang lain. 

Justeru, sebilangan penduduk Jepun cuba mendapatkan bantuan pakar untuk mencari cara mengekspresikan semula wajah mereka.

Bercakap kepada akhbar Japan Times, seorang jurulatih senyuman, Miho Kitano berkata: “Ada individu yang memberitahu bahawa walaupun tidak perlu memakai pelitup muka, mereka enggan menunjukkan bahagian bawah wajah kerana tidak tahu cara untuk tersenyum.

“Ada yang berkata mereka melihat banyak kedutan di sekeliling mata apabila tersenyum dan merasakan wajah mereka ‘kejung’ kerana sekian lama tidak menunjukkan ekspresi,” katanya.

Menurut Kitano, syarikatnya iaitu Smile Facial Muscle Association telah merekodkan peningkatan bilangan orang ramai yang ingin mencari cara untuk senyum semula.

‘Pakar senyuman akan memberi latihan dengan meminta peserta menggigit penyedut minuman bertujuan untuk menaikkan otot pipi dan membantu menampakkan gigi mereka,” katanya.  – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI