KULIM – Dua buah gerai yang dibina secara haram dan disyaki menjadi lokasi menjual serta minum air ketum dirobohkan dalam Operasi Roboh di Padang Serai, di sini hari ini.
Operasi bermula pukul 9 pagi tadi itu dilakukan oleh 70 kakitangan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta anggota polis di dua lokasi berasingan di Taman Ria dan Taman Serai Wangi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, operasi dilakukan mengikut Seksyen 72 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana dua gerai tersebut didirikan tanpa kebenaran.
Katanya, selain mengambil tindakan meroboh struktur gerai, penguat kuasa juga memotong bekalan air dan elektrik yang disambung ke gerai tersebut.
“Tindakan ini juga dilakukan selepas dua gerai itu sudah beberapa kali diserbu dengan melibatkan rampasan air ketum sejak tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, pihak MPKK sudah memberikan notis kepada pemilik dua gerai tersebut iaitu notis meruntuhkan premis pada 25 Januari lalu seterusnya notis mengosongkan bangunan pada 27 Februari lepas.
“Notis mengosongkan bangunan tamat dalam tempoh 30 hari dari tarikh diserah, namun tiada maklum balas daripada pemilik dua gerai berkenaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE