fbpx

Olahraga ada potensi ke pentas Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAR berharap dapat mengekalkan catatan masanya pada separuh akhir nanti dan memecahkan lagi rekod kebangsaan pada Universiade Chengdu, China semalam.

PUTRAJAYA – Atlet-atlet olahraga negara mempunyai potensi yang cukup besar untuk menyinar bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara, malah benua Asia dan tidak mustahil sehingga ke pentas Olimpik kelak.

Demikian pandangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh susulan kejayaan kem olahraga negara meraih pingat emas 400 meter (m) lelaki dan wanita pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh semalam.

Emas berganda Umar Osman dan Shereen Samson Vallabuoy mengulangi pencapaian Nordin Mohamed Jadi-Josephine Mary Singarayar pada Sukan SEA Jakarta 1987 dan Romzi Bakar-N. Manigamalay sewaktu Sukan SEA Jakarta 1997.

SHEREEN menamatkan penantian 24 tahun Malaysia memenangi pingat emas 400m wanita Sukan SEA di Stadium Nasional Morodok Techo semalam. – AMIR KHALID

“Kita sangat berbangga dengan pencapaian Shereen dan Umar kerana ia satu penantian yang begitu lama untuk mendapat dua emas ini. Barisan atlet muda sudah mula mendapatkan hasil untuk kita.

“Olahraga memang ada potensi yang bagus. Saya percaya dengan sokongan yang betul, mereka (atlet-atlet) boleh majukan sukan ini bukan sahaja di peringkat SEA tetapi Asia dan harap satu hari nanti boleh di Olimpik,” katanya.

Hannah yang ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Belia dan Sukan hari ini, turut meluahkan keyakinan Malaysia berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 40 emas di bumi Phnom Penh.

UMAR ceria bersama pingat emas dimenanginya pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo semalam. – AMIR KHALID

Shereen, 25, terlebih dahulu menjuarai 400m wanita dengan catatan masa 52.53 saat (s) menewaskan dua atlet Vietnam, Nguyen Thi Huyen (53.27s) dan Nguyen Thi Hang (53.84s) yang masing-masing meraih perak serta gangsa.

Kejayaan itu membolehkan Shereen yang juga pemegang rekod 400m kebangsaan, menamatkan penantian 24 tahun untuk meraih emas acara itu sejak dimenangi N. Manimagalay pada edisi 1999 di Brunei.

Kemudian, giliran Umar, 20, mencipta sejarah baharu apabila memenangi 400m lelaki dengan masa 46.34s sekali gus memadam rekod kebangsaan, 46.41s berusia 22 tahun dilakukan Mohd. Zaiful Zainal Abidin pada 2001.

Umar menewaskan dua atlet Filipina yang memenangi pingat perak dan gangsa, Umajesty Wesley (46.52s) serta Frederick Cabatu (46.63s). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI