fbpx

Anwar: The Untold Story, apa yang belum didedahkan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Anwar: The Untold Story bakal menemui penonton di pawagam bermula minggu depan.

BERKESEMPATAN menonton filem yang merungkai perjuangan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjudul Anwar: The Untold Story memberi ‘rasa’ pelbagai buat penonton.

Buat penulis secara peribadi, sama ada filem terbitan Yusrych Global Sdn. Bhd. dan DMY Creation selaku pengedar rasmi itu menepati jangkaan khalayak atau sebaliknya, itu yang menjadi ‘kebimbangan’.

Dari mata kasar melihat posternya sahaja, tidak banyak boleh dihamparkan harapan. Dalam bahasa basahan, naskhah tersebut sekadar menelusuri sepotong daripada naratif perjuangan Anwar. Tidak banyak ekspektasi boleh diberikan terhadap filem garapan pengarah Indonesia, Viva Westi itu.

Berbalik soal nuansa filem, tidak banyak juga yang boleh diperkatakan terutama tentang kekemasan jalan cerita filem yang menelan belanja RM10 juta tersebut.

PENYATUAN Malaysia, Indonesia diwakili Farid dah Acha dalam Anwar: The Untold Story barangkali simbolik persahabatan baik Anwar Ibrahim dengan pemimpin seberang.

Mendatar, makna ‘untold’

Penceritaannya sedikit mendatar sedangkan perjalanan Anwar sebagai pejuang bangsa dan politikus pula sangat panjang dengan sepak terajang tersembunyi.

Judul cerita terkandung perkataan ‘untold’ dan semestinya membuatkan audiens, termasuk penulis mengharapkan sesuatu yang tidak pernah didedahkan kepada dunia sebelum ini.

Kita tahu bahawa susuk politik berpengaruh itu pernah ditahan dalam penjara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kita tahu Anwar pernah berdepan tuduhan kes liwat.

Apa yang kita tak tahu? Itulah yang perlu didedahkan atau dilondehkan produksi pembikin filem yang memilih untuk menerbitkan karya dengan judul Anwar: The Untold Story.

Sesekali, rasa terganggu juga dengan latar muzik atau skor sekejap timbul, sekejap tenggelam.

Ketika babak filem sedang meremukkan hati, muzik ‘background’ pula seperti tersesat entah di mana.

Misalnya, ketika Anwar dan keluarga berdepan siasatan polis. Semua kelihatan tidak kena. Babak menyayat hati, namun muzik yang ditampal seperti sedang menawan rasa bahagia.

Kendatipun, pujian atau props harus diberikan kepada beberapa pelakon terutamanya, Acha Septriasa yang memainkan peranan sebagai Wan Azizah Wan Ismail.

Farid dan Acha saling tak tumpah seperti susuk sebenar Anwar dan Wan Azizah.

Acha cemerlang jadi Kak Wan

Kalau ditanya satu elemen atau perkara memberi dampak melalui Anwar: The Untold Story, jawapannya ada pada tanggungjawab yang dipikul Acha sebagai Wan Azizah atau Kak Wan.

Dia bukan orang Malaysia, namun bahasa tubuh, emosi dan bahkan, loghat atau aksen Melayunya berlangsung cemerlang. Syabas buat Acha. Satu pekerjaan yang dilunaskan cukup cemerlang.

Begitu juga energi yang disampaikan pelakon utama, Farid Kamil sebagai Anwar. Dari segi fizikal, dia terjelma saling tak tumpah seperti politikus itu.

Dari segi percakapan atau dialog atau emosi masih jauh untuk disamakan dengan Anwar, namun dia berjaya menghidupkan karakter utama itu dengan permainan lakonan tersendiri.

Cuma, perihal-perihal ‘kecil’ lain yang mencacatkan deria apabila atmosfera dibangunkan tidak menggambarkan persekitaran masyarakat Malaysia. Jika diukur dari segi percakapan, aksen bahkan peranan yang dimainkan pelakon sampingan lain, semuanya cenderung ke arah orang Indonesia.

Satu yang pasti, pihak-pihak terlibat seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim yang dipaparkan barangkali akan ‘panas hati’ jika menonton Anwar: The Untold Story.

Konklusinya, Anwar: The Untold Story masih satu anjakan buat industri kreatif negara yang sebelum ini sering ditunjal kepala agar tidak terlalu terbuka menyentuh perihal sensitif sedangkan realitinya, itu yang berlaku. Majulah filem untuk negara!

 

Farid sebagai Anwar dalam sebuah adegan dalam Anwar: The Untold Story.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI