SERI ISKANDAR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak menjadi cawangan pertama institusi pengajian tinggi itu yang memperkenalkan Kad Rakan Media bagi memudahkan pengamal media di negeri ini berurusan dengan mereka.
Rektornya, Profesor Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim berkata, kad itu membolehkan pengamal media memasuki pekarangan kampus dengan lebih mudah berbanding sebelum ini, malah mereka turut dibenarkan untuk menggunakan fasiliti tertentu di kampus.
Beliau berkata, idea untuk memperkenalkan Kad Rakan Media itu adalah hasil daripada kerjasama yang telah dijalin dengan pemain-pemain dalam industri sebelum ini.
“Inisiatif Kad Rakan Media ini adalah untuk menghargai rakan-rakan media yang menyokong setiap aktiviti dilaksanakan di UiTM dan meuar-uarkannya.
“Kad itu akan memudahkan urusan mereka untuk datang ke UiTM Perak. Kita nak hubungan yang dijalin ini berterusan, dan ia (Kad Rakan Media) merupakan platform untuk tujuan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE