PETALING JAYA – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilarikan teman lelakinya sejak 10 bulan lalu dari rumahnya di Desa Mentari, di sini berjaya diselamatkan polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berjaya ditahan di sebuah kampung di Banting manakala mangsa ditemui di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit, Banting pada 8 Mei lalu.
Menurut Fakharudin, mangsa dipercayai tinggal bersama suspek yang berusia 23 tahun di sebuah stor besi buruk di Banting.
“Motif kejadian dipercayai suspek yang bercinta dengan mangsa sejak 2014 mengesyaki dia mempunyai teman lelaki lain.
“Dipercayai mangsa memang ikut suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 52 Akta Kanak-kanak 2001 kerana mangsa berusia 17 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa tidak pernah menghubungi keluarganya sepanjang tempoh tersebut dan ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sekiranya berlaku perlakuan seksual.
“Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai besi buruk tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.
Fakhrudin berkata, polis turut membuat siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berikutan suspek membuat ugutan kepada ibu remaja terbabit dimana dia akan bertemu dengan anaknya selepas mangsa mati.
“Suspek direman dua hari bermula 9 hingga 10 Mei,” katanya. – KOSMO! ONLINE