fbpx

Bayaran ganti rugi lebih RM200,000, Amelia Henderson sudah fail rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amelia

KUALA LUMPUR – Pelakon Amelia Henderson telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

Perkara itu disahkan peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia. Menurut peguam itu, rayuan itu telah difailkan pada 18 April lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

“Ya.. kita sudah failkan (rayuan),” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Sementara itu, ditanya antara alasan utama dalam rayuan itu, peguam itu berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan secara terperinci sebaliknya hanya memaklumkan rayuan adalah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Sivil sebelum ini.

Pada 7 April lalu, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28 diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Justeru mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah 5 peratus kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI