PHNOM PENH – Pemain snuker berpengalaman, Moh Keen Hoo mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menyumbang pingat emas ke-15 selepas menjuarai acara six red ball individu di Sukan SEA Kemboja 2023 sebentar tadi.
Pada aksi penentuan emas di AEON Mall, Phnom Penh itu, Keen Hoo bangkit untuk menewaskan lawannya dari Laos, Siththideth Sakbieng 5-3 meskipun pada satu ketika ketinggalan 0-3.
Keen Hoo yang membuat penampilan kesembilan di Sukan SEA mengakui tidak sangka sangka dapat melakar kejayaan tetapi kesilapan mudah yang dilakukan oleh Siththideth memudahkannya untuk bangkit pada lima frame terakhir.
“Saya tidak dapat bermain dengan baik pada awal perlawanan mungkin kerana tertekan. Selepas ketinggalan 0-3, saya cuba tenang dan akhirnya dapat melakar kemenangan buat Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE