KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memberikan tempoh sebulan kepada Kerajaan Malaysia untuk mendedahkan laporan Pasukan Petugas Khas (PPK) berhubung kehilangan aktivis Amri Che Mat kepada isterinya.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, isteri Amri, Norhayati Mohd. Ariffin bagaimanapun hanya dibenar berkongsi laporan itu dengan peguamnya untuk tujuan saman sivil selain dilarang mendedahkannya kepada pihak ketiga.
Sementara itu, peguam Surendra Ananth yang mewakili Norhayati memberitahu wakil media, keputusan mahkamah berkuat kuasa hari ini.
Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan semakan kehakiman Norhayati bagi menghapuskan klasifikasi Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 berhubung laporan kehilangan suaminya pada 2016.
Dalam keputusannya, Hakim Wan Ahmad Farid berpuas hati, keputusan pegawai awam ketika mengklasifikasi dokumen di bawah OSA boleh diubah kerana dokumen itu bukan muktamad dan konklusif.
Mahkamah turut berpendapat, penjelasan responden pertama bahawa pendedahan laporan itu akan menyebabkan penjenayah mengambil kesempatan terhadap operasi polis, sebagai tidak memadai.
Norhayati selaku plaintif menamakan Mohd. Russaini Idrus dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan. Mereka diwakili oleh Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly.
Semakan kehakiman itu bertujuan membatalkan klasifikasi OSA untuk mengakses laporan bagi mengukuhkan tindakan sivil yang berkaitan terhadap polis dan Kerajaan Persekutuan berhubung kehilangan suaminya, hampir tujuh tahun lalu.
Semakan kehakiman itu difailkan ekoran siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 3 April 2019 lalu menyimpulkan bahawa Amri dan Paderi Raymond Koh adalah mangsa kehilangan secara paksa pada 2016 dan 2017.
Raymond, 64, dilapor diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya, dekat sini, pada 13 Februari 2017.
Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016 sewaktu sedang memandu di Jalan Padang Behor ketika dalam perjalanan melawat rakannya manakala kenderaan yang dipandu dijumpai di tapak pembinaan terbiar di Bukit Chabang, keesokan hari.
Dalam laporannya, Suhakam membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terlibat secara langsung terhadap kehilangan secara paksa Raymond dan Amri.
Pendengaran siasatan awam Suhakam berlangsung bermula Oktober 2017 hingga Disember 2018 melibatkan 40 saksi iaitu 16 saksi bagi kes Raymond dan 24 saksi bagi kes Amri.
Selanjutnya pada 26 Jun 2019, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membentuk pasukan petugas khas melibatkan enam anggota yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd. Rahim Uda untuk menyiasat perkara itu.
PPK turut dianggotai bekas Ketua Bahagian Perundangan PDRM Datuk Mokhtar Mohd. Noor; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Datuk Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid.
Turut terlibat Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC), Mohd. Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd. Russaini Idrus.
Bagaimanapun, Mokhtar telah menarik diri secara sukarela daripada pasukan tersebut. – KOSMO! ONLINE