PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan kumpulan muzik ternama dari United Kingdom, Coldplay ke Malaysia pada November depan.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebooknya, Anwar turut menyampaikan ucapan selamat datang kepada kumpulan tersebut ke negara ini.
“Coldplay, selamat datang ke Malaysia, let us work together and protect environment and keep the world safe (mari kita bekerjasama dan melindungi alam sekitar dan menjaga keselamatan dunia),” kata Anwar.
Terdahulu, Coldplay mengesahkan bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 22 November depan.
Kemunculan mereka pada konsert yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu bersempena dengan siri jelajah Music of the Spheres World Tour.
Selain Kuala Lumpur, Coldplay juga akan mengadakan persembahan di Tokyo, Jepun, Jakarta (Indonesia), Perth (Australia) dan di Taipei (Taiwan).
Siri jelajah Coldplay telah bermula sejak Mac tahun lalu dan kumpulan itu telah menjadi antara artis yang menjual tiket konsert terbanyak di dunia.- KOSMO! ONLINE