MILAN – Pemain pertahanan AC Milan, Fikayo Tomori sudah tidak sabar untuk beraksi dalam pertemuan derbi menjelang separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Inter Milan di San Siro awal pagi esok.
Pemain antarabangsa England itu bakal dijulang sebagai legenda Milan, sebaris dengan Paolo Maldini, Alessandro Nesta dan Franco Baresi sekiranya dia mampu membantu pasukan tersebut menamatkan penantian trofi Liga Juara-Juara sejak 2007.
Bagaimanapun, Tomori enggan terlalu memikirkan status tersebut, sebaliknya dia hanya mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap aksi separuh akhir menentang Inter Milan terlebih dahulu sebelum meletakkan sasaran lebih jauh.
“Siapa sangka kita dapat menyaksikan aksi derbi pada separuh akhir Liga Juara-Juara. Saya tidak fikir ada perlawanan lebih besar berbanding pertemuan antara Milan dan Inter Rabu nanti (awal pagi esok).
“Saya tahu kami tidak akan ada sebarang masalah untuk bertemu pasukan terbaik di Eropah kerana Milan sendiri adalah antara gergasi bola sepak di rantau ini. Saya yakin Milan ada peluang untuk ke final,” katanya.
Sementara itu, penyerang Rossoneri, Olivier Giroud mengakui, dia memiliki keyakinan cukup tinggi untuk merobek pintu gol Inter awal pagi esok kerana sudah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan menentang pasukan tersebut.
“San Siro adalah tempat yang sangat istimewa, lebih-lebih lagi dalam saingan Liga Juara-Juara yang cukup berprestij. Dalam Serie A, saya pernah menjaringkan tiga gol bertemu Inter, jadi saya memiliki statistik cukup baik menentang mereka,” ujarnya. – AGENSI