fbpx

Tiga tahun raya suram, anak masih terlantar koma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROZITA menjaga Muhammad Yusshah yang terlantar akibat kemalangan ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT – Sudah tiga tahun setiap kali menjelang Aidilfitri, sepasang suami isteri tidak membuat sebarang persiapan, sebaliknya hanya menjaga anak mereka, Muhammad Yusshah Danish yang masih terlantar koma.

Rozita Hamzah, 50, yang tinggal di Felda Kota Gelanggi Dua di sini berkata, suasana hari raya mereka telah lama suram apabila melihat Muhammad Yusshah Danish, 20, terlantar selepas terbabit kemalangan jalan raya pada 1 Jun 2020.

Katanya, dia dan suami, Yussery Ismail, 53, masih mele­takkan harapan besar dan berdoa agar anak ketiga daripada lima beradik itu kembali sedar.

“Dia parah di bahagian kepala, patah tulang leher, pergelangan bahu, tangan dan jari setelah motosikal ditunggang bertembung dengan motosikal lain,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Rozita, selama dua tahun berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan, cuma bahagian anggota tertentu sahaja sedikit pulih.

“Kami kini menjaganya secara bergilir selain menyediakan minuman susu khas menerusi tiub yang dipasang di kerongkong,” ujarnya.

Rozita memberitahu, anaknya itu hanya bergantung kepada susu khas, iaitu jenis Optimum dan Myotein seberat 800 gram setiap satu yang mencukupi untuk tempoh dua hari sahaja.

Kos penjagaan anak­nya itu termasuk untuk pembelian susu khas, lampin pakai buang dan ubat kira-kira RM2,500 sebulan.

Dia bersama suaminya yang mengusahakan peralatan sewaan majlis perkahwinan berkata, dalam tempoh tiga tahun ini, sebanyak RM30,000 sudah dihabiskan untuk membiayai perubatan anaknya itu.

“Saya tidak tahu bila anak saya akan sedar, saya harap ada yang sudi menyumbangkan bantuan bagi meringankan perbelanjaan anak saya ini,” ujarnya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Yussery di talian 014-5321433 atau menya­lurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat 220304322791 atas nama Muhammad Yusshah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI