HARI Kesihatan Sedunia yang disambut pada tanggal 7 April lalu mula dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1948.
Sambutan itu memberi peluang kepada global untuk memfokuskan isu-isu kesihatan awam yang penting serta mempengaruhi masyarakat antarabangsa.
Tarikh itu juga memberi fokus dalam memperbaharui dan meningkatkan kesedaran global terhadap isu kesihatan yang menjadi keutamaan serta perhatian majoriti masyarakat dunia.
Ini secara langsung memberi peluang kepada semua pemegang taruh dan mereka yang terlibat dalam advokasi kesihatan.
Ia juga bertujuan menumpukan usaha-usaha berkenaan terhadap populasi berisiko seterusnya dapat memastikan matlamat kesihatan untuk semua dapat direalisasikan.
Membawa tema Health for All (Kesihatan untuk Semua) tema itu dilihat sebagai satu deklarasi tegas membabitkan keperluan masyarakat terhadap kesihatan dari semua negara.
Tema itu dipilih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menzahirkan komitmen tiada diskriminasi kesihatan kepada seluruh rakyat negara ini sempena ulang tahun ke-75 WHO.
Anwar turut berkongsi, semua individu perlu mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan tanpa mengambil kira latar belakang.
Memetik perkongsian Pakar Kesihatan Awam, Prof. Madya Dr. Malina Osman, tema ‘Kesihatan untuk Semua’ itu merupakan satu daripada deklarasi sempena Persidangan Antarabangsa Kesihatan Primer di Almaty pada 1978 sewaktu di bawah Republik Soviet.
Menurutnya, deklarasi yang lebih dikenali sebagai Deklarasi Alma Ata itu menjadi pelopor terhadap fokus keutamaan kesihatan primer, seterusnya menjadi antara prinsip asas pendekatan WHO terhadap isu-isu kesihatan global.
Beliau turut yakin kepada prestasi sistem perkhidmatan kesihatan negara dan klinikal yang ditawarkan oleh sektor swasta.
Prestasi cemerlang itu membolehkan Malaysia berpotensi untuk menjadi hub rawatan utama pada masa depan.
Secara umum, rakyat Malaysia mempunyai sistem dan prasarana yang sangat baik serta setanding dengan kualiti di peringkat global.
Pada hari ini, negara mempunyai data mega sangat banyak dan pelbagai teknologi hibrid serta dalam talian termasuk aplikasi perubatan yang boleh dimanfaatkan dari masa ke masa.
Namun, tambah baik pengurusan sumber perlu dilaksanakan bagi mengelakkan potensi ketirisan sumber awam serta isu-isu semasa berkaitan sistem perjawatan dan pengurusan sistem.
Ia memerlukan pendekatan kontemporari bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kalis daripada sebarang impak atau kesan akibat perubahan dasar pada sesuatu masa.
Beliau yang juga pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia turut berkongsi harapannya melalui sambutan tersebut.
Ujar beliau, masyarakat negara ini perlu mengambil cakna kepentingan menjaga kesihatan.
Tanggungjawab terhadap kesihatan bukan hanya perlu dimainkan oleh pihak hospital atau Kementerian Kesihatan Malaysia, malah ia merupakan satu usaha menyeluruh semua peringkat termasuk melibatkan masyarakat dan kolaborasi antara agensi yang terlibat.
Setiap individu mempunyai peranan bagi memastikan kita mencapai akses perkhidmatan, menggunakan sebaik-baiknya perkhidmatan ditawarkan serta memperhebatkan usaha-usaha promosi kesihatan.
NOOR ESZEREEN JUFERI ialah Wartawan Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia