PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi pengalaman pahitnya membeli sebuah rumah terpakai yang didakwa boleh diumpamakan seperti stor serta perlu banyak diperbaiki.
Menerusi akaun TikTik @Zila jamaluddin, dia terpaksa bertungkus lumus menguruskan rumah tersebut sehingga boleh diduduki semula dengan selamat.
“Pengalaman beli rumah ‘second hand’ (subsale), malam itu pemilik cakap dah boleh bawa masuk barang-barang sedikit, tetapi apabila tengok lantai semua tak cuci dan bekas kasut merata-rata tempat.
“Pemilik tinggal barang-barang macam itu sahaja, dia mahu kami yang bersihkan,” katanya.
Menurutnya, selepas kerja-kerja pembersihan dan pendawaian elektrik selesai, mereka diuji pula dengan kejadian atap dan siling bocor.
“Satu-satu dugaan datang, atap dan siling bocor pula, kena tukar baharu, sebab siling lama sudah melendut,” ujarnya.
Dakwanya, pada awal persetujuan membeli rumah itu, pemilik lama tidak memaklum secara terperinci keadaan rumah yang dijualnya.
“Awal beli, pemilik kata tiada bocor, semua baik-baik sahaja, tetapi hakikat lain pula.
“Ketika melakukan pendawaian, macam-macam sampah ada di atas siling,” ujarnya kesal.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai turut marah dengan tindakan pemilik sebelumnya yang tidak bertanggungjawab.
“Lain macam ya, orang buang sampah di luar rumah, dia buang sampah atas siling,” kata Thebutterflies.
“Kita tidak kisah hendak jual rumah ‘second hand’ atau apa ke, tetapi pastikan ketika berlaku penyerahan persetujuan kepada orang baru, mesti dalam keadaan baik-baik,” komen Hani.
“Dah macam stor dah dia buat siling tu. Itulah sis, nak beli rumah macam ini kena tengok betul-betul, tanya berapa lama semua,” nasihat Azuwan. – KOSMO! ONLINE