fbpx

Data UNHCR perlu bagi pengurusan pelarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ketiadaan dapatan data yang tepat membabitkan angka pelarian di negara ini menyukarkan proses pengurusan golongan tersebut.

Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memerlukan data-data tertentu dari segi tempat tinggal, umur dan kesihatan bagi menguruskan hal berkaitan pelarian.

Ujar beliau, setakat ini tiada perkongsian berkaitan daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

“Buat masa ini, kita tiada data itu dan data terbesar ada dengan UNHCR.

“Bagaimanapun, keadaan sekarang berlaku tidak berlaku sebarang perkongsian data antara mereka dan kerajaan,” katanya dalam majlis rumah terbuka PDRM, di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung usaha kerajaan untuk memberi peluang pekerjaan bagi pelarian.

Menurutnya, pihaknya sedang dalam usaha mengumpul data malah perkara itu telah dipersetujui ketika Mesyuarat Majlis Keselamatan pada 11 April lalu.

“KDN perlu urus satu persatu, kita harus mulakan dari data sedia ada. Kami kena tengok profil mereka dan sebagainya,” katanya.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggesa UNHCR menjalankan tanggungjawab mereka terhadap pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

Kerajaan juga mempertimbang untuk mengadakan suatu perjanjian bersama UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya tersebut dalam negara ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI