fbpx

Anggota APM maut dipatuk ular tedung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noriah menunjukkan gambar arwah yang maut akibat dipatuk ular tedung di Kampung Kemasin, Bachok hari ini. Foto oleh ROSLIZA MOHAMED/ KOSMO!

BACHOK – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) maut selepas dua hari bertarung nyawa di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian apabila dipatuk seekor ular tedung kelmarin.

Mangsa, Lans Koperal Mohd. Idris Abdul Samad, 34, disahkan meninggal dunia di HUSM kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Ibu mangsa, Noriah Awang, 68, berkata, Mohd. Idris dipatuk ketika mengalihkan seekor ular tedung dari guni ke dalam sangkar khas selepas menangkap reptilia itu di sebuah kampung di Kota Bharu.

Menurutnya, keadaan arwah ketika itu stabil dan masih boleh bercakap ketika dirawat di HUSM sebelum kesihatannya semakin merosot kira-kira pukul 5 pagi tadi.

“Saya terus bergegas ke hospital dan sempat bertemu Mohd. Idris sebelum menghembuskan nafas terakhir. Arwah memaklumkan bahawa dia akan bertunang dengan gadis pilihannya dari Johor selepas Hari Raya Aidiladha.

“Hasratnya tidak kesampaian kerana dia pergi dijemput ilahi. Kami sekeluarga tetap reda dengan kejadian menimpanya itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Noriah memberitahu, arwah yang sudah berkhidmat dengan APM sejak 15 tahun lalu pernah dipatuk ular pada 2017 sehingga menyebabkan jari tengah tangan kanannya dipotong.

Menurutnya, jenazah Mohd. Idris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemasin di sini selepas solat zuhur sebentar tadi.

Sementara itu, Pengarah APM Kelantan, Mohd. Adzhar Mujab berkata, mangsa dipatuk ular tedung di bahagian celah ibu jari kanan ketika bertugas di APM di Tunjong, Kota Bharu.

Katanya, mangsa yang memakai sarung tangan untuk mengalihkan reptilia itu kemudiannya dipatuk ular tedung terbabit.

“Mohd. Idris merupakan seorang anggota APM yang berdedikasi, komited dan terlatih untuk menangkap haiwan berbisa itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI