KUALA PERLIS – Golongan wanita mempunyai kelebihan dan berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan menjadikan rakyat negara ini menjadi pengguna yang lebih bijak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh berkata, ia terbukti apabila kementerian itu menerima sebanyak 4,273 aduan menerusi platform Aduan Suri sejak dilancarkan pada 12 Januari hingga 30 April lalu.
“Sifat wanita itu sendiri terutamanya golongan ibu serta suri rumah yang mahukan sesuatu lebih baik untuk anak mahupun keluarga mendorong mereka melakukan sesuatu dengan lebih berhati-hati dan teliti.
“Perkara itu terbukti boleh digunakan ke arah kebaikan bagi tujuan mendaya upaya kuasa sebagai pengguna bijak yang boleh menentukan penawaran dan permintaan dalam pasaran,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Aduan Suri peringkat negeri Perlis, di sini hari ini.
Kata beliau, tiga kumpulan aduan daripada 4,273 laporan diterima menerusi Aduan Suri itu menyaksikan kategori transaksi dalam talian paling tinggi iaitu sebanyak 1,305; kategori harga (1,187 aduan) dan perkhidmatan mengelirukan 725 aduan.
Katanya, di Perlis pula sebanyak 94 aduan diterima dan sebanyak 90 peratus telah selesai dari tempoh 1 Januari hingga 30 April lalu dengan kebanyakannya aduan berkait transaksi dalam talian serta harga.
“KPDN yang berperanan dalam penerimaan dan pengurusan aduan pengguna telah menyediakan kod imbasan QR bagi Aduan Suri dan pengadu hanya perlu mengimbas kod tersebut sebelum ia disalurkan ke aplikasi WhatsApp aduan kementerian ini.
“Pengadu hanya perlu memberikan maklumat seperti lokasi aduan, premis diadu dan bukti gambar serta maklumat lain yang lengkap sebelum pihak penguat kuasa dapat mengambil tindakan seterusnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE