JOHOR BAHRU – Tindakan pantas orang awam mengeluarkan seorang pemandu yang tidak sedarkan diri selepas kenderaannya terbabas dalam kemalangan berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II, Noor Azhan Ahmad berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di Lebuh Raya East Coast Pasir Gudang berhampiran Kilang Idemitsu, dekat sini pada pukul 2.58 pagi, hari ini.
Sehubungan itu katanya, seramai tujuh anggota beserta sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pemandu kenderaan iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun telah tidak sedarkan diri selepas kenderaannya terlibat dalam nahas kemalangan menyebabkan kenderaannya terbakar.
“Orang awam bertindak pantas mengeluarkan mangsa sebelum kenderaan tersebut terbakar kira-kira 90 peratus keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari.
Tambah Noor Azhan, mangsa yang mengalami kecederaan akibat kemalangan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Anggota kemudian membuat pemadaman kebakaran sebelum menamatkan operasi berkenaan pada pukul 3.40 pagi.
“Anggaran kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE