SHAH ALAM – Isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, iaitu Nurul Shuhada kesal prosiding bagi sebutan pengesahan lafaz cerai hari ini masih belum menemui titik noktah.
Pemilik nama penuh Nurul Shuhada Mat Shukri itu juga terkejut apabila pihak suaminya selaku plaintif meminta penangguhan sebutan kes.
“Saya kesal sebab sangka semuanya akan selesai ditambah pula sudah bersedia untuk menjalankan perbicaraan tapi pihak sana pula meminta penangguhan.
“Kita mahu panjangkan cerita buat apa lagi sebab dia pun sudah pilihan sendiri namun saya reda sebab Allah SWT sudah tulis takdir saya begini,” kata Shuhada, 29, yang ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Sementara itu, peguam mewakilinya, Nurfarhana Abd Manaf memaklumkan tarikh 20 Jun depan merupakan tarikh baharu untuk pengesahan lafaz cerai.
“Sebenarnya kami sudah bersedia untuk perbicaraan siasatan bagi kedua-dua pihak walaupun semalam baharu terima jawapan pembelaan daripada peguam syarie mewakili Hafidz.
“Dia sudah memakai cantik hari ini untuk memberikan keterangan secara lisan tetapi akhirnya pihak plaintif meminta keterangan itu berjalan secara bertulis.
“Pihak mahkamah tetapkan dan beri peluang kepada kedua-dua pihak memberi keterangan secara bertulis dan bicara pada 20 Jun depan,” ujarnya.
Hari ini merupakan prosiding bagi sebutan pengesahan lafaz cerai Hafidz terhadap Nurul Shuhada, bagaimanapun mahkamah menetapkan 20 Jun sebagai tarikh baharu untuk prosiding seterusnya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, menetapkan 9 Mei bagi sebutan semula kes cerai pelakon Hafidz Roshdi dan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Hal ini kerana, terdapat isu baharu apabila Nurul Shuhada mendakwa suaminya melafazkan cerai terlebih dahulu melalui aplikasi WhatsApp pada 22 Januari lalu.
Berikutan itu, Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan 9 Mei depan selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon satu tarikh lain bagi menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai tersebut.
Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.
Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz bercerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.
Seterusnya, pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.
Pelakon itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.
Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Mahkamah kemudian membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000 selain turut memerintahkan Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.
Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2. – KOSMO! ONLINE