MELAKA – Kerajaan negeri memberi tempoh tujuh hari kepada pemaju projek pembangunan komersial yang mengakibatkan rekahan cerun dan kerosakan rumah penduduk di Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, di sini untuk melakukan ratifikasi berhubung isu tersebut.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerja-kerja penambahbaikan berkaitan keselamatan serta teknikal melibatkan pergerakan tanah di kawasan terlibat akan dipantau secara harian oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
“Saya menerima jaminan daripada pihak pemaju yang akan melihat langkah-langkah bagi memastikan keselamatan dan juga teknikal ini dipatuhi.
“Pihak MPHTJ telah memberikan tempoh seminggu untuk membuat ratifikasi dan kita akan pantau permasalahan ini secara harian,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan dan pertemuan dengan penduduk Taman Muzaffar Shah, hari ini.
Tambahnya, pemaju juga telah diarahkan untuk bertemu dengan penduduk yang terkesan untuk membincangkan isu ganti rugi dan tuntutan baik pulih kediaman terjejas.
“Pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga tadi bersama-sama dan saya mohon supaya pemaju dapat memberi perhatian tentang tuntutan ganti rugi sekiranya ada rumah-rumah yang terjejas daripada hasil projek ini.
“Segala langkah nanti akan dikuatkuasakan oleh pihak MPHTJ bagi memastikan penduduk berada dalam keadaan tenang, aman tidak resah tentang pergerakan tanah,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan kira-kira 300 penduduk Taman Muzaffar Shah di sini buntu memikirkan keselamatan diri dan kediaman mereka selepas berlaku rekahan cerun akibat daripada projek pembangunan komersial.
Seorang penduduk, Zainon Baba, 52, berkata, dia tidak dapat tidur lena setiap kali hujan lebat kerana bimbang pagar zink yang dipasang pemaju di tepi cerun runtuh akibat pergerakan tanah. – KOSMO! ONLINE