PETALING JAYA – Perkongsian sekeping gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang memeluk isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyentuh hati orang ramai.
Dipercayai gambar itu diambil semasa tayangan perdana ‘Anwar:The Untold Story’ yang diadakan di Dadi Cinema, Pavillion, Kuala Lumpur malam tadi.
Gambar tersebut dikongsi di laman media sosial rasmi Anwar hari ini bersama kapsyen ringkas.
“Kasih dan kekuatan seorang isteri dan ibu menyemarak obor perjuangan,” tulis kapsyen itu.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna tersentuh hati melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri terhadap isterinya.
“Dr. Wan Azizah sememangnya seorang isteri yang baik dan tabah dalam mengharungi kehidupan,” kata Mohd. Noor Basirun.
“Di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada wanita yang bergelar isteri memberi kekuatan dan semangat dalam hidupnya,” kata Farhdli.
“Susah senang bersama, biar dugaan melanda namun setia menunggu,” kata Hidayah.
Terdahulu, ‘Anwar: The Untold Story’ merupakan filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi yang dibintangi pelakon tempatan, Farid Kamil Zahari yang memegang watak sebagai Anwar dan aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa sebagai Dr. Wan Azizah.
Filem tersebut akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara mulai 18 Mei ini. – KOSMO! ONLINE