SHAH ALAM – Mahkamah Rendah Syariah di sini sebentar tadi menetapkan 20 Jun ini bagi perbicaraan pengesahan lafaz cerai pelakon Hafidz Roshdi dan isterinya Shuhada.
Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan terdapat isu berhubung lafaz cerai luar mahkamah yang didakwa berlaku sebanyak dua kali.
“Pihak kami tiada masalah untuk meneruskan prosiding pengesahan lafaz cerai ini diteruskan dengan perbicaraan. Namun kami perlu melakukan persediaan agar pihak-pihak menyediakan pernyataan saksi masing-masing.
“Justeru pihak kami memohon satu tarikh singkat bagi prosiding seterusnya perbicaraan pengesahan lafaz cerai tersebut,” kata peguam itu.
Sementara itu, peguam syarie Nurfarhana Abd. Manaf yang mewakili Shuhada membantah perkara itu kerana anak guamnya sudah bersedia untuk prosiding pengesahan lafaz cerai hari ini.
“Anak guam saya (Shuhada) sudah bersedia untuk memberi kenyataan secara lisan hari ini. Namun pihak kami akur sekiranya mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi perbicaraan berserta pernyataan saksi,” katanya.
Pada prosiding sebelum ini, peguam syarie Akberdin memaklumkan Shuhada mendakwa suaminya ada melafazkan cerai lebih awal melalui aplikasi WhatsApp pada Januari lalu.
Menurut peguam syarie itu, pihaknya terkejut apabila melihat tuntutan balas kononnya Hafidz ada melafazkan cerai lebih awal iaitu pada 22 Januari lalu, sedangkan dalam permohonan cerai lafaz itu dibuat pada 22 Februari.
Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Shuhada atau nama sebenarnya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.
Untuk rekod, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi , 29, dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.
Pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor. – KOSMO! ONLINE