PETALING JAYA – Seorang pekerja kedai pakaian dipercayai dipukau seorang wanita di sebuah kedai tudung dipercayai berlaku dekat Alor Setar, Kedah baru baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok @AmyHer.veils memaparkan pemukau memulakan taktiknya dengan mengambil sehelai tudung berharga RM20 sejurus sahaja masuk ke dalam kedai.
Katanya, ketika membuat pembayaran, pemukau itu menggunakan wang RM100 untuk membeli tudung yang berharga RM20.
“Bagi duit besar RM100 untuk membeli tudung RM20,” katanya di kapsyen.
Oleh kerana tidak mendapat diskaun, pemukau itu membatalkan pembelian tudung itu.
“Staf (pekerja wanita itu) sudah pegang duit baki dan kemudian diberikan kepada pemakau itu, tetapi tiba-tiba tak jadi beli dan terus minta duit RM100 itu balik.
“Dapat sahajaduit RM100 itu, terus pusing sorok duit dalam baju, buat-buat tengok tudung lain sedangkan duit baki RM80 telah diambilnya,” katanya.
Tambahnya, pemukau tersebut tiba-tiba ingin membeli semula dan mengambil balik baki yang diberi pada awal pembelian yang tidak jadi tadi.
Selepas itu, pemukau terbabit berlakon mahu membuat pembelian yang lain dan terus meninggalkan kedai dengan duit yang berjumlah RM180.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai berasa kesal dengan kejadian itu.
“Saya pernah kena macam ini, tetapi dia datang berdua lelaki perempuan. Buat kalut, pening habis sampai kita hilang fokus. Hilang RM70,” kata Tka.
“Sebenarnya bukan hilang fokus kerana kedai tak ramai, dia sedang pukau, sebab itu staf bagi dalam keadaan senyum sebab memang tak ingat apa-apa,” komen EykaRadzi86.
“Iya, saya pun pernah kena, habis duit kertas RM100. Memang tidak sedar langsung, lepas dia pergi, baru tersedar,” luah CucurUdangPantai. – KOSMO! ONLINE