fbpx

Anwar dedah cuma sekali menangis di penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersentuh menonton filem Anwar, The Untold Story yang mengangkat liku perjuangannya dalam arena politik tanah air.

Katanya, walaupun melalui peristiwa pahit, hatinya kental mendepani dugaan apabila hanya sekali saja beliau menitiskan air mata ketika dalam penjara yang disebabkan pemergian ibu tercinta, Allahyarham Che Yan Hussein pada 2001.

“Sebagai pemimpin saya perlu kuat malah isteri saya kerap mengingatkan supaya saya bijak mengawal emosi terutama di hadapan rakyat.

“Tapi saya hanya manusia biasa. Ada tersentuh perasaan, ada sedihnya walau pun seperti mana isteri saya sebut dalam filem ini kita jangan pamerkan kesedihan.

“Sepanjang hidup derita di penjara, hanya sekali saya menangis iaitu apabila ibu saya meninggal dunia.

“Itu memang saya tidak boleh kawal Selebihnya, tawa dalam tangisan,” katanya pada sidang media selepas tayangan perdana filem biopik itu di Dadi Cinema Pavilion, di sini, malam tadi.

Kehadiran Anwar turut diiringi isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama pengarah filem itu, Viva Westi dan pelakon utama, Farid Kamil.

Hadir sama pada majlis yang dihadiri sekitar 250 jemputan itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Pengasas serta Pengerusi DMY Creation Datuk Mohamed Yusoff.

Pada masa sama, Anwar menjelaskan, beliau terbuka dalam memberi ruang kepada penerbit dan pengarah untuk menggarap jalan cerita supaya diterjemahkan menjadi lebih menarik.

Walaupun keseluruhan dialog dan penceritaan tidak 100 peratus tepat, katanya, isu diketengahkan dalam karya berkenaan merupakan kejadian sebenar yang diolah dengan pintar.

“Disebabkan ini adalah hasil seni, maka daya cipta dan kreativiti itu harus ada. Kita berikan ruang agak bebas kerana saya percaya dalam pembikinan kerja kreatif, penggiat seni harus diberikan sedikit ruang kebebasan.

“Prinsip seni ini harus lebih bebas untuk memastikan kreativiti seni itu tercungkil. Sebagai orang yang diceritakan, tentunya saya tersentuh,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut berharap audiens dapat berpeluang me ndengar runut bunyi berjudul Menjaga Cintamu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tidak sempat diperdengarkan pada sesi tayangan.

Anwar, The Untold Story arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi menggandingkan Farid Kamil yang memegang watak Anwar bersama manakala aktres Indonesia, Acha Septriasa sebagai Dr. Wan Azizah.

Memberi fokus terhadap peristiwa penting antara tahun 1993 sehingga 1998 itu, kisah digarap menceritakan perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.

Filem yang mengambil latar di Indonesia dan Malaysia membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 18 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI