fbpx

108,284 permohonan FSA2 diterima MBSB Bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sebanyak 108,284 permohonan bagi Pembiayaan Peribadi patuh Syariah Ihsan-i yang merupakan kemudahan di bawah program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diterima oleh pihak MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) setakat hari ini.

MBSB melalui satu kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah tersebut, permohonan yang layak adalah sebanyak 49,130 dan seterusnya 27,202 permohonan telah diluluskan dengan nilai keseluruhan pembiayaan berjumlah RM561 juta.

“Keseluruhan proses Ihsan-i daripada peringkat permohonan ke peringkat pengeluaran pembiayaan telah dilakukan sepenuhnya secara dalam talian tanpa perlunya pemohon hadir ke cawangan MBSB Bank.

“Pemprosesan permohonan ini masih giat dijalankan oleh MBSB Bank dalam usaha untuk memastikan para pemohon dapat menerima maklumbalas daripada pihak Bank dengan kadar segera.

“Bagi permohonan Ihsan-i yang tidak berjaya, ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti pemohon berstatus muflis dan Nisbah Khidmat Hutang (Debt Service Ratio) yang tinggi,” jelas kenyataan tersebut hari ini.

Walau bagaimanapun, MBSB Bank mengambil maklum bahawa terdapat pemohon yang berstatus muflis telah menerima kelulusan, ini disebabkan oleh jumlah permohonan yang diterima adalah sangat tinggi dalam tempoh masa yang singkat yang membawa kepada berlakunya keralatan sistem. Pemohon-pemohon tersebut pula telah membuat pengisytiharan yang mereka bukan muflis ketika membuat permohonan.

“Demi kepentingan para pemohon yang terbabit ini, MBSB Bank tidak akan mengenakan sebarang caj terhadap jumlah pembiayaan Ihsan-i yang telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan mereka. Status Akaun 2 KWSP mereka juga tidak akan terjejas.

“Ihsan-i MBSB Bank menggunapakai konsep Tawarruq. Antara kelebihan Ihsan-i adalah ansuran bulanan yang rendah pada tahun pertama kerana pelanggan hanya perlu membayar bayaran keuntungan, tiada caj proses ataupun caj penamatan awal.

“Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra’ dari jumlah keuntungan sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal. Kadar keuntungan Ihsan-i adalah sangat kompetitif berbanding dengan kadar Pembiayaan Peribadi yang sedia ada,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambahnya, ansuran bulanan Ihsan-i boleh bertambah atau berkurang tertakluk kepada perubahan Kadar Dasar Semalaman (OPR), namun jumlah keseluruhan ansuran bulanan yang dibayar tidak boleh melebihi harga jualan.

Katanya, harga jualan tersebut juga telah dimaklumkan kepada pelanggan di dalam tawaran pembiayaan yang perlu dipersetujui. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI