RAWANG – Penyanyi jelita, Wany Hasrita menukar perancangan asal untuk melahirkan bayi sulung di Kuching, Sarawak selepas suaminya mendapat cuti selama sebulan.
Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, yang bakal menimang cahaya mata pada Julai ini akan menjalani pantang di sisi suami dan ibunya, Norita Jaafar, 52, di Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, saya dan kandungan yang kini mencecah usia 31 minggu sihat. Insya-Allah akan bersalin Julai ini.
“Sepatutnya saya merancang untuk bersalin di Kuching kerana mudah, jadi suami tidak perlu cuti panjang. Tapi selepas meneliti perancangan, suami dapat bercuti sebulan, jadi saya tukar perancangan untuk bersalin di Kuala Lumpur.
“Jadi dapatlah suami menjaga saya sepanjang dalam tempoh berpantang,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Nabila Razali di Setia Eco Templer, di sini semalam.
Menghitung hari untuk bergelar ibu, Wany mengakui perasaannya berdebar berdepan proses tersebut.
“Kita tidak dapat lari daripada perasaan berdebar dan bimbang. Banyak perkara yang saya fikirkan dan selalu bayangkan perkara buruk boleh berlaku. Mahu atau tidak kena hadap juga. Allah beri tempoh sembilan bulan untuk bersedia,” katanya.
Wany berkata, hidup berjauhan dengan suami, Muhd Al-Adib Fahmi Harun, 31, menjadi cabaran terbesar buatnya, namun bersyukur ibunya sentiasa berada di sisi.
“Sejak awal kehamilan, saya tanamkan proses (kehamilan) ini tidak senang dan tidak juga sukar. Semua bergantung kepada mental. Saya cuba biasakan diri dan tidak mahu menyusahkan orang lain,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman sepanjang kehamilan, penyanyi lagu Menahan Rindu ini tidak mengalami alahan teruk.
“Saya tidak suka makanan berkuah yang sebelum ini memang menjadi kegemaran saya. Sekarang sudah masuk lapan bulan saya sudah boleh makan semula,” ujarnya.
Wany mendirikan rumah tangga dengan Muhd. Al-Adib yang merupakan seorang juruterbang pada 22 Julai 2022.