PUTRAJAYA – Ikan kembung, sawi dan hidangan berasaskan mi adalah makanan popular yang dibeli oleh rakyat Malaysia sepanjang tahun lalu.
Berdasarkan Laporan Survei Perbelanjaan Isu Rumah 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, tiga jenis makanan itu mewakili tiga kategori utama dibeli rakyat Malaysia iaitu ikan segar, sayur-sayuran segar dan makanan di luar rumah.
Data itu diperolehi hasil tinjauan yang dilakukan terhadap lapan juta isi rumah di seluruh negara pada tahun lalu.
Bagi kategori ikan segar, ikan kembung paling popular dibeli diikuti cencaru, selayang, kerisi dan tongkol.
Manakala, bagi kategori sayur-sayuran segar pula, sawi paling banyak dibeli isi rumah diikuti bawang putih, bawang besar, tomato dan lobak merah.
Selain itu, makanan berasaskan mi atau pasta paling banyak dibeli rakyat Malaysia bagi kategori makanan di luar rumah diikuti teh, nasi lemak, nasi campur (nasi kerabu, nasi paprik dan nasi dagang) dan nasi ayam serta nasi itik.
Menerusi tinjauan sama, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata meningkat pada kadar pertumbuhan 3.9 peratus seiring dengan peningkatan pendapatan isi rumah yang tumbuh pada kadar 4.2 peratus pada tahun lalu.
Bagi peringkat negeri, Putrajaya merekodkan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tertinggi iaitu RM7,980 diikuti Kuala Lumpur (RM6,913), Selangor (RM5,830), Melaka (RM4,955), Johor (RM4,793) dan Pulau Pinang (RM4,630).
Laporan itu menyebut, kos sara hidup secara relatif berbeza antara negeri disebabkan wujud perbezaan harga barangan, tingkat pendapatan isi rumah dan kemampuan isi rumah untuk menampung kenaikan harga barang.
Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tumbuh pada kadar 3.9 peratus setahun selari dengan pertumbuhan sederhana pendapatan isi rumah bulanan purata 4.2 peratus bagi tempoh 2016 hingga 2019.
Manakala, dari segi nilai pula, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata meningkat daripada RM4,033 pada 2016 kepada RM4,534 pada 2019.