KLANG – Kegiatan haram satu sindiket menjual kasut tiruan berjenama secara dalam talian sejak setahun lalu tumpas apabila digempur pihak berkuasa di Taman Sejati di sini, hari ini.
Ribuan kasut yang diimport dari luar negara itu disimpan di stor rumah kedai disewa sindiket berkenaan sebelum menjualnya menerusi media sosial.
Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan membawa kepada rampasan kasut berjumlah RM800,000, kira-kira pukul 1 petang tadi.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri, Mohd.Khairi Jamaludin berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama sebulan dan aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan tersebut.
Katanya, ketika serbuan pihaknya terpaksa memecahkan pintu di tingkat atas premis berkenaan yang dijaga seorang lelaki berusia 31 tahun.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui kira-kira 4,000 kasut tiruan pelbagai jenama yang melanggari peruntukan Akta Cap Dagangan 2019.
“Lelaki tempatan itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan itu.
Mohd.Khairi menambah semua kasut berkenaan dipercayai dijual dengan harga antara RM180 hingga RM400 sepasang di seluruh negara.
Beliau menjelaskan, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada sindiket mempunyai rangkaian lain selain memeriksa pemilik yang menyewakan premis tersebut.
“Ini merupakan serbuan kedua melibatkan nilai rampasan kedua terbesar pada tahun ini.
“Semua rampasan dibawa ke Stor Eksibit KPDN Selangor bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE