PETALING JAYA – Penduduk di Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sitiawan, Perak merayu campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung isu lalat yang terlalu banyak di kawasan perumahan mereka.
Seorang pengguna akaun TikTok @amieelnanis memuat naik beberapa video baru-baru ini menunjukkan keadaan rumahnya yang dipenuhi beribu lalat.
Dakwanya, situasi kurang menyenangkan itu berlaku setiap hari meskipun telah membuat aduan namun masih belum diambil tindakan oleh mana-mana pihak.
“Tolonglah Menteri Besar. Ya Allah Ya Tuhanku. Balik rumah pukul 2.30 pagi dah satu kerja nak kena mop, kena menyapu. Sampai bila?,” soalnya.
Menurut pengguna tersebut, masalah gangguan lalat ini menjadi satu bebanan buat penduduk di kawasan perumah berkenaan.
Dalam pada itu, dia turut meminta bantuan orang ramai untuk tularkan isu ini agar sampai ke pengetahuan pihak berwajib supaya tindakan segera dapat dilakukan.
“Pergilah viralkan dekat mana-mana pun sebab ini suara rakyat. Apabila kita melalui platform yang betul, dia memakan proses yang lama. Jadi kita menggunakan kuasa viral.
“Zaman sekarang zaman viral, apabila isu ini viral, ia akan cepat dapat action (tindakan). Kami (penduduk setempat) mengharapkan kuasa viral orang ramai. Kami penduduk di kawasan banyak lalat memohon tolonglah bantu kami,” rayunya. – KOSMO! ONLINE