BANGKOK – Pelakon popular, Preechaya Pongthananikorn tampil membuat laporan polis semalam bagi menjelaskan bahawa dia membeli racun sianida menerusi internet untuk membunuh reptilia yang menyerang anjing peliharaan di belakang rumah ibunya, lapor portal berita Thai PBS.
Aktres itu ditemani ibunya dan seorang peguam semasa membuat laporan polis.
Preechaya berkata, racun itu sama seperti yang digunakan suspek pembunuh bersiri, Sararat Rangsiwuthaporn.
Sararat kini berdepan 13 tuduhan melakukan pembunuhan terancang.
Peguam Preechaya, Monchai Jongkrairattnakul memberitahu media, anak guamnya membuat laporan polis untuk menjelaskan dia membeli sianida tanpa niat untuk membahayakan sesiapa, sebaliknya untuk menghapuskan ular dan biawak.
Pelakon itu juga berkata, dia tidak tahu sama ada polis akan mendakwanya kerana memiliki sianida secara haram sambil menambah, mana-mana bahan kimia berbahaya ada dalam simpanannya telah diserahkan kepada polis.
Sebelum itu, Preechaya memohon maaf secara terbuka kerana membeli sianida untuk meracun ular dan biawak di belakang rumahnya tanpa mengetahui perbuatan itu menyalahi undang-undang.
Ia termaktub atas kesalahan memiliki bahan kimia berbahaya tanpa permit.
Dalam temu bualnya menerusi program bual bicara popular, Hone Krasae, aktres itu menangis sambil memohon maaf atas kesilapannya.
Aktres tersebut berkata, semasa menonton program berita televisyen, dia dan teman lelakinya dari Switzerland bertengkar tentang racun sianida kerana kekasihnya berkata, memiliki bahan kimia berbahaya diharamkan di Switzerland.
Namun Preechaya menegaskan racun tersebut boleh dibeli menerusi internet di Thailand.
Wanita itu berkata, pada 25 April lalu, dia memesan sianida menerusi internet dan membayar 3,132 baht (RM408.31). Dua hari kemudian, bahan kimia itu dihantar melalui bungkusan ke rumahnya. – Agensi