MELAKA – Kira-kira 300 penduduk Taman Muzaffar Shah di sini buntu memikirkan keselamatan diri dan kediaman mereka selepas berlaku rekahan cerun akibat daripada projek pembangunan komersial.
Seorang penduduk, Zainon Baba, 52, berkata, dia tidak dapat tidur lena setiap kali hujan lebat kerana bimbang pagar zink yang dipasang pemaju di tepi cerun runtuh akibat pergerakan tanah.
Menurutnya, insiden tebing runtuh pernah berlaku sebelum ini dan pemaju telah melakukan kerja-kerja baik pulih, namun kualiti kerja yang tidak seberapa menyebabkan masalah itu kembali berulang.
“Pemaju perlu pastikan kerja mereka berkualiti supaya runtuhan tidak berlaku lagi, sekarang saya dah tidak percaya lagi kepada kualiti kerja mereka walaupun pemaju ada melakukan kerja-kerja pembaikan.
“Saya juga berdepan masalah habuk yang menyebabkan rumah menjadi kotor dan pakaian tidak lagi boleh disidai di luar rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, penduduk terpaksa berdepan dengan pelbagai gangguan rutin kehidupan selepas projek itu mula dilaksanakan pada 2021.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Keroh Height, Ismail Othman, 64, berkata, para penduduk merayu campur tangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh supaya penyelesaian tuntas dapat dicapai.
Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan sebelum ini termasuk mengadakan pertemuan dengan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan pemaju, tetapi masih tiada tindakan konkrit untuk memastikan keselamatan 60 kediaman yang terlibat.
“Saya tidak nampak apa yang mereka lakukan dapat menjamin keselamatan kami. Pagar dan longkang juga dibuat sambil lewa dan tidak memuaskan.
“Saya mohon pihak yang berkenaan untuk mengkaji langkah penyelesaian jangka panjang seperti membuat dinding yang lebih kukuh. Justeru, kami mohon campur tangan untuk beri perhatian terhadap projek berkenaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE